.:: AKU MENULIS BUKAN KERNA NAMA::.ADAKALANYA KENANGAN LALU BAKAL MENGUSIK JIWA,ADAKALANYA KENANGAN LALU MAMPU MERUNTUN JIWA...DARI ALLAH KITA DATANG DAN KEPADA ALLAH KITA KEMBALI...::.(",)...........................................................

Sunday, October 23, 2011

MUSIM HAJI

Kini musim haji tiba lagi. Tetamu ar-Rahman telah mula berduyun-duyun ke Tanah Suci menyahut seruan haji.
Tahniah kepada semua yang terpilih pada tahun ini. Kepada yang belum terpilih, diharap bersabar dan teruskan berdoa, insya Allah suatu masa nanti giliran anda akan tiba jua.

Bersempena dengan suasana musim haji ini, elok kiranya dikongsikan beberapa kelebihan Tanah Suci Makkah agar yang akan pergi itu dapat melipat gandakan lagi amalan semasa di sana dan mengambil peluang sebanyak-banyaknya untuk menghayati keberkatannya.

Sesungguhnya Allah Taala telah menciptakan langit dan bumi. Dialah juga yang menciptakan seluruh makhluk di bumi ini dan di tempat-tempat lain yang kita ketahui dan tidak ketahui. Dia berhak memilih mana-mana makhluk ciptaan-Nya untuk diberikan kelebihan dan keistimewaan tertentu yang tidak diberikan kepada makhluk-Nya yang lain.
Allah memilih manusia sebagai makhluk yang dimuliakan seperti yang disebut di dalam surah al-Isra’ ayat ke 70.
Allah memilih Ramadan sebagai bulan penuh rahmat dan keberkatan
Dan Allah memilih Makkah sebagai negeri yang penuh dengan kemuliaan, negeri yang amat dicintai dan dirindui oleh setiap hati insan yang beriman.
Secara ringkasnya antara kelebihan yang disebut dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih adalah:

1. Di situ letaknya Baitillah, rumah pertama yang dibina di atas muka bumi ini untuk dijadikan tempat sujud dan menghambakan diri kepada-Nya. “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Ali Imran: 96)

2. Tempat yang dijanjikan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan kepada sekalian makhluk yang mengungjunginya. “…Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia….” (Ali Imran: 97), “Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia untuk ibadat Haji dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang…” (Al-Baqarah:125)

3. Makkah adalah negeri yang makmur. Rezeki datang mencurah-mencurah dari segenap penjuru dunia kerana terkabulnya doa Nabi Ibrahim alaihissalam: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada berbagai-bagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat antara mereka.” Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”. (Al-Baqarah: 126)

4. Allah memilih Makkah sebagai tempat kelahiran Rasul akhir zaman, tempat bermula turunnya wahyu, titik permulaan dakwah kepada akidah yang sejahtera sehingga tersebar ke suluruh pelosok dunia merentasi sempadan masa dan benua. “Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummul-Qura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) – yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) satu puak masuk Syurga dan satu puak lagi masuk neraka.” (Asy-Syura :)

5. Makkah merupakan tanah haram yang dimuliakan. Diharamkan berperang dan menumpahkan darah di dalam kawasannya, tidak dibenarkan berburu, mencabut dan memotong pokok-pokok yang tumbuh di buminya. Daripada Ibn Abbas radiallahuanhu, Rasulullah sallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya): “Allah telah mengharamkan (memuliakan) Makkah. Maka tidak halal bagi seseorangpun sebelum dan selepasku. Tidak harus dicabut tumbuh-tumbuhannya, dipotong pokok-pokoknya, dikejar buruannya dan dipungut atau diambil barang yang tercicir kecuali untuk dicari pemiliknya. Al-Abbas mencelah, “kecuali al-izkhir untuk kubur-kubur kita”, baginda menyahut, “kecuali al-izkhir (sekenis tumbuhan berbau harum).” (Al-Bukhari dan Muslim)

6. Makkah terpelihara daripada Dajjal sebagaimana dinyatakan di dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik radiallahuanhu bermaksud: “Tidak ada satu negeri pun kecuali akan dimasuki Dajjal melainkan Makkah dan Madinah. Setiap kali dia mencuba untuk memasukinya dia dihalang oleh dua saf melaikat yang mengawalnya. Kemudian Madinah bergegar sebanyak 3 kali gegaran, lalu Allah keluarkan darinya semua orang yang kafir dan munafik.
7. Solat di Masjidil Haram di Makkah digandakan pahala beribu-ribu kali ganda. Daripada Jabir radiallahuanhu bahawa Rasulullah sallahu alaihi wasallam bersabda maksudnya: “Satu solat di Masjidku lebih afdal daripada 1000 (seribu) solat di masjid lain kecuali Masjidil Haram. Satu solat di Masjidil Haram lebih afdal daripada 100,000 (seratus ribu) solat di masjid lain.” (Riwayat Ibn Majah)
Kesimpulannya, kedudukan Makkah sangat penting dan kelebihannya sangat besar. Allah telah memilihnya dan menjadikannya negeri yang dimuliakan. Ia negeri yang paling baik dan paling dicintai Allah. “Demi Allah! Sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik negeri, dan engkau adalah negeri yang paling Allah cintai. Kalaulah tidak kerana kaumku mengusirku, aku tidak akan keluar dari bumimu.” Demikian maksud hadis riwayat Ahmad dan at-Tirmizi. Di situ terletak masjid paling agung di dunia yang kepadanya kaum Muslimin mengadap lima kali sehari ketika mereka solat, menghambakan diri kepada Tuhan mereka Yang Esa.

“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Ali Imran: 97).

Selamat Menunaikan Haji kepada semua jamaah Haji tahun 2011 terutama kepada mak,ayah dan atok.
SEMOGA MENDAPAT HAJI YANG MABRUR!!!





Accident...Kejadian2

Pada hari Khamis 19/10/2011,keretaku telah dilanggar oleh sebuah motor yang dipandu oleh nurse HOSPITAL UTAMA di Kluang pada jam lebih kurang 7 pagi.Nurse tersebut tidak berhelmet dan tidak mempunyai lesen langsung.Nasib baik ok dan stabil nurse tu...Pemandu kereta berada dalam keadaan trauma dan blurred dalam masa sejam.Terkejut beruk dibuatnya.Kebetulan yang melanggar tesebut ada kaitan dengan yang dilanggar di sebelah suaminya...sedaralah tu...hurmmmm






motor kene langgar

motor yang kene langgar...

Friday, August 5, 2011

Renungan: Bagi Isteri & Calon Isteri dan Bagi Suami & Calon Suami

Buat para Suami & calon Suami..
Renungkanlah...Pernikahan atau perkahwinan membuka tabir rahsia...
Isteri yang kamu nikahi tidaklah semulia Khadijah,
tidaklah setaqwa Aisyah..
pun tidak setabah Fatimah..

Justeru..
isterimu hanyalah wanita akhir zaman
yang punya cita-cita menjadi solehah
Pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajiban bersama.......
Isteri menjadi tanah kamu langit penaungnya,
Isteri ladang tanaman kamu pemagarnya,
Isteri kiasan ternakan kamu gembalanya,
Isteri adalah murid kamu mursyidnya,
Isteri bagaikan anak kecil kamu tempat bermanjanya,
Saat isteri menjadi madu kamu teguklah sepuasnya,
seketika isteri menjadi racun kamulah penawar bisanya,
seandainya isteri tulang yang bengkok berhati-hatilah
meluruskannya.

Pernikahan atau perkahwinan menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa
Untuk belajar meniti sabar dan ridha kepada Allah swt.

Kamu bukanlah Rasulullah saw?
Pun bukanlah Sayyidina Ali Karamallahhuwajhah
Cuma suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh...

AMIN.


Buat para Isteri & calon Isteri..

 
Renungkanlah...

Pernikahan atau perkahwinan membuka tabir rahsia
Suami yang menikahi kamu tidaklah semulia Muhammad saw
Tidaklah setaqwa Ibrahim
Pun tidak setabah Ayyub atau pun
Segagah Musa.. apalagi setampan Yusuf
Justru suamimu hanyalah lelaki akhir zaman yang punya
cita-cita
membangun keturunan yang soleh...

Pernikahan atau perkawinan mengajar kita kewajiban
bersama..
Suami menjadi pelindung kamu penghuninya,
Suami adalah nahkoda kapal kamu pengemudinya,
Suami bagaikan pelakon yang nakal kamu adalah penonton
kenakalannya,
Saat suami menjadi raja kamu nikmati anggur singgasananya,
Seketika suami menjadi bisa kamulah penawar obatnya,
Seandainya suami bengis lagi lancang sabarlah
memperingatkannya,

Pernikahan ataupun perkahwinan mengajarkan kita perlunya
iman dan taqwa,
untuk belajar meniti sabar dan ridha Allah swt.

Kamu bukanlah Khadijah yang begitu sempurna di dalam menjaga
pun bukanlah Hajar yang begitu setia dalam sengsara....
Cuma wanita akhir zaman yang berusaha menjadi solehah,

AMIN.

REBUT HIKMAT RAMADHAN

REBUT HIKMAT RAMADHAN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 



Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :


يأيهاالذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

  Sempena hari Jumaat yang mulia di bulan Ramadhan yang diberkati dan dirahmati Allah ini marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah yang masih memberi peluang kepada kita untuk sama-sama merebut tawaran dan ganjaran yang begitu besar yang dijanjikan pada bulan ini. Ramadhan yang dijanjikan oleh Allah dengan  gandaan pahala padanya serta pengampunan dosa bagi hambaNya yang memohon keampunan daripadaNya mestilah digunakan sebaik mungkin oleh kita dalam menambahkan amalan soleh serta meningkatkan kualiti ibadat tersebut agar kita sama-sama dapat meraih segala tawaran dan janji Allah yang begitu istimewa ini yang tidak ada pada bulan-bulan selain Ramadhan. Antara hikmat ibadat puasa untuk keselamatan dunia ialah dapat menjaga kesihatan kita apabila dengan mengerjakan ibadat puasa dapat memberi ruang kepada tempat penghadam di dalam perut kita untuk berehat sehingga kesihatan kita dapat dijaga.  Tetapi apa yang malangnya apabila ramai di kalangan kita menjadikan Ramadhan bukan sebagai bulan memperbanyakkan ibadat sebaliknya bulan pesta makanan lazat sehingga kita hanya memberi masa kepada penghadam pada siang hari sahaja untuk berehat sedangkan pada malam hari kita menggunakannya untuk menghadam makanan yang kita makan kadang-kadang lebih banyak daripada bulan selain Ramadhan. Ingatlah kita bahawa makanan halal ibarat ubat tetapi jika makan terlalu banyak maka ia bukan boleh memberi banyak manfaat sebaliknya akan membawa mudharat. Sepatutnya pada bulan Ramadhan kita dapat menjimatkan perbelanjaan harian tetapi akibat mengikut kehendak nafsu maka ia semakin bertambah. Allah telah memberi peluang kepada kita untuk menjaga kesihatan dan menjimatkan belanja dengan anugerah Ramadhan tetapi kita jarang merebutnya. Jika hikmat puasa untuk kebaikan dunia kita pun tidak dapat direbut maka adakah kita yakin bahawa hikmat puasa berbentuk akhirat dapat diraih



Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

            Sempena kedatangan Ramadhan yang dijanjikan dengan pelbagai anugerah berharga daripada Allah ini maka marilah kita sama-sama menghidupkannya dengan ibadat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat terawih, menjamu orang berbuka puasa, sedekah, qiamullail dan sebagainya. Gunakanlah peluang dengan kehadiran Ramadhan sebaiknya dalam melahirkan diri sebagai umat yang bertaqwa kepada Allah sepanjang masa. Jangan biarkan diri kita terus tertewas kepada nafsu ketika teman rapatnya iaitu syaitan dirantai sebulan Ramadhan ini. Adalah malang apabila ada umat Islam yang tidak mahu berusaha untuk beramal dan bersifat sebagaimana ahli syurga ketika Allah membuka seluas-luasnya pintu Syurga dan bertambah malang apabila ada juga di kalangan umat Islam sendiri yang terus beramal dan bersifat sebagaimana ahli neraka pada bulan yang ditutup rapat pintu neraka. Hayatilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :


قال النبي e : إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنُ     - رواه مسلم

Maksudnya : Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka segala pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan

Tanyalah diri kita samada ibadat yang dikerjakan selama ini termasuk ibadat puasa adakah sudah mampu menewaskan nafsu dalam diri serta melahirkan diri kita sebagai umat yang begitu inginkan Syurga sehingga kita berlumba untuk beramal dan bersifat sebagaimana yang disuruh oleh Allah dan dalam masa yang sama kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh agar menjauhi amalan dan sifat ahli neraka dengan menghindari segala perbuatan yang dilarang oleh Allah.  Rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah bagi orang yang berpuasa penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Sahli bin Sa’ad :

قال الرسول e : ِإنَّ فِي الَجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ لا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُوْنَ؟ فَيَدْخُلُوْنَ مِنْهُ : فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ    - رواه ومسلم

Maksudnya : Sesungguhnya  pada syurga itu ada satu pintu yang dipanggil Rayyan di mana akan masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari qiamat. Tidak akan masuk bersama mereka seorang pun selain mereka yang berpuasa. Akan diseru dimanakah orang-orang yang berpuasa?. Maka mereka akan masuk syurga melaluinya. Maka apabila telah masuk orang terakhir daripada orang berpuasa nescaya ditutup pintu itu dan tidak boleh lagi memasukinya walau pun seorang.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

            Islam merupakan agama fitrah yang sesuai dengan keadaan diri umat manusia. Kewajipan puasa bukanlah suatu penyeksaan dan penderaan kepada umat manusia sebaliknya di sana ada pelbagai kelebihan dan kebaikan yang terbit hasil daripada menunaikan ibadat puasa. Anugerah Ramadhan dapat menyaksikan bagaimana masjid dan surau yang sebelum ini agak kosong kini mulai ramai ahli jemaahnya terutama pada waktu malam. Tanpa anugerah Ramadhan maka agak susah untuk menarik umat Islam sendiri untuk berjinak dengan masjid dan surau walau pun masuknya percuma dan pintunya terbuka sepanjang masa. Oleh itu kita mesti gunakan peluang dengan kehadiran ahli jemaah yang ramai pada bulan Ramadhan ini untuk mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan disamping menanam kukuh kesedaran serta membangkitkan semangat juang dalam melawan musuh batin yakni nafsu dan musuh zahir yang terdiri daripada musuh Islam yang tidak pernah jemu berusaha memerangi Islam. Ramadhan yang pernah menyaksikan kemenangan besar tentera Islam dalam peperangan Badar al-Kubra dan pembukaan Kota Mekah menunjukkan kepada kita bagaimana lemahnya nafsu membolehkan semangat juang semakin kuat. Puasa bukan penghalang yang memadamkan semangat juang sebaliknya ia sebagai suatu tarbiah yang berharga dalam melahirkan umat yang hanya takut kepada Allah sehingga tidak akan tunduk kepada musuh walau apa pun yang berlaku.

         Jika kita boleh mengerjakan ibadat puasa kerana adanya rasa takut kepada Allah dalam diri maka kita juga wajib yakin bahawa kemenangan Islam pasti datang dengan syarat kita memenuhi tuntutan yang telah digariskan oleh Allah termasuk sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah sepanjang masa dengan ibadat serta menjauhi segala dosa yang boleh menyebabkan kita dihinakan oleh Allah di dunia serta disiksa pula dengan api neraka di akhirat sana. Ketika kita membaca dan meneliti ayat-ayat al-Quran maka di sana kita dapati pelbagai cara Allah mendatangkan kemenangan kepada umat Islam yang membantu agamaNya dan pelbagai akibat buruk pula yang menghancurkan umat yang melawan agama Allah walau pun mereka mendabik dada dengan kekuasaan dan kekayaan serta kehebatan yang ada pada diri mereka. Kita pada hari ini dapat menyaksikan bagaimana betapa hebatnya Amerika Syarikat sehingga dapat menjajah Afghanistan serta menghancurkan Iraq dalam masa yang singkat tetapi tidak mampu menghadapi bala daripada Allah berbentuk ribut Katrina dan Rita yang menghancurkan beberapa  buah negeri dan bandarnya. Manusia hanya mampu mengesan kedatangan ribut yang membolehkan mengurangkan angka kematian tetapi tidak mampu menangkis dan menghalang ribut tersebut.



Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah, 

Sempena bulan Ramadhan ini maka kita jangan lupa kepada saudara kita yang sedang ditindas di Selatan Thailand disamping tertekan di Indonesia terutama selepas pengeboman di Bali, umat Islam di Iraq, Afghanistan, Palestin dan seluruh dunia. Sekurang-kurangnya kita tadah tangan untuk sama-sama berdoa agar mereka diberikan kekuatan dan kemenangan oleh Allah serta dapat sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan dengan penuh kegembiraan.

Renungilah firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :


شهر رمضان الذى أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينـت من الهدى والفرقان فمن شهد منكم الشهر فليصمه ومن كان مريضا أو على سفر فعدة من أيام أخر يريد الله بكم اليسر ولايريدبكم العسر ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هدئكم ولعلكم تشكرون

Maksudnya: Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara hak dan batil. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya maka hendaklah ia berpuasa padanya. Sesiapa yang sakit atau bermusafir maka wajib dia ganti sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain selepas Ramadhan. Allah S.W.T mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan agar kamu membesarkan Allah di atas petunjukNya kepada kamu. Dan supaya kamu bersyukur

Wednesday, July 27, 2011

Ahlan Ya Ramadhan...

" Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertakwa."
(Surah Al Baqarah, ayat 183)


Hadis 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka.
1.Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi.
2.Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa.
3.Allah mempersiapkan serta menghiasi Jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu".
4.Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan.
5.Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan.
Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadis 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadis 3
Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadis 4
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadis 5
Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadis 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Saturday, July 16, 2011

NISFU SYAABAN...Dekat dan rindu YA RAMADHAN....

Bacaan yasin
Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.
Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masakini tentang sahih batilnya amalan ini.
Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w.  atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.
Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung  di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.
Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin  dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah  sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah  ciptaan rakyat tempatan khusus  untuk amalan penduduk nusantara ini!
'Solat Sunat' Nisfu Syaaban
Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?" [al-Syur.a 42:21]
Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: "barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: "Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa' Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya... Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid'ah dan setiap perkara bid'ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur'an dan hadis yang seumpamanya.
Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.
Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.
Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.
Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.
Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.
Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." [al-Nisa’ 4:59]
Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [AalImr.an 3:31]
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.
Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…
Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”
Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).